Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membuat keputusan secara bersendirian berhubung pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri dengan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menegaskan keputusan tersebut dibuat berlandaskan perbincangan.

"PM tidak membuat keputusan bersendirian.

"Mengenali PM, beliau sering mengamalkan konsep musyawarah dan juga perbincangan dengan para menteri Kabinet khususnya dengan Timbalannya dan beberapa menteri kanan," kata Zambry semasa ditemubual Astro AWANI di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Zambry menyifatkan pelantikan tersebut tidak bermakna ia isyarat persediaan kepimpinan negara menuju pilihan raya.

"Tentunya PM ada alasan terbaik untuk memberi tugas tambahan itu kepada Datuk Seri Hishammuddin," ujarnya lagi.

Semalam, Datuk Seri Najib dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan Hishammuddin sebagai Menteri Dengan Tugas-tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan pula menyifatkan pelantikan Hishammuddin adalah sesuai dan Menteri Pertahanan itu katanya mampu melaksanakan tugas baharu tersebut.

Selain menyokong tugas baharu yang diberikan kepada Hishammuddin, kepercayaan itu juga dilihat dapat membantu Perdana Menteri dalam misi dan tugas-tugas khas bagi mengukuhkan hubungan dua hala dan sekali gus melicinkan pentadbiran kerajaan.