Pihak polis sedang menyiasat video memaparkan seorang yang disyaki melakukan khianat dengan merosakkan bendera sebuah parti politik di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihak polis telah menerima tiga laporan berhubung kejadian tersebut sejak semalam.

"Setakat ini tiga laporan polis telah dibuat ke atas suspek oleh orang awam yang menyaksikan kejadian, pemasang bendera, serta wakil pemuda daripada parti berkenaan.

"Kertas siasatan telah dibuka dan polis sedang di dalam proses menjejaki indivitu terbabit," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur pada Isnin.


Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan kerosakan.

BACA: 'Parti politik nak kempen boleh tapi jangan kacau tiang kami' - TNB

BACA: Jangan gantung bendera politik di masjid, sekolah agama

Tular di media sosial sebuah klip video berdurasi 0.41 saat memaparkan seorang lelaki dirakam mencabut serta merosakkan bendera sebuah parti politik dan mencampakkannya ke atas jalan raya.

Bendera BN

Mengulas lanjut, Mazlan berkata sekiranya individu terbabit merasakan bahawa pemasangan bendera berkenaan adalah salah, ia sepatutnya dilaporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tidak mengambil tindakan sendiri.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebelum ini menjelaskan pemasangan bendera dan bahan kempen sebelum bermulanya proses Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terletak dibawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata pada masa ini, tindakan terhadap pemasangan semua bentuk bahan kempen bukannya dibawah bidang kuasa SPR kerana proses pilihan raya belum lagi bermula.

“SPR tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan poster atau bendera diturunkan kerana kuasa yang diperuntukan kepada SPR hanya boleh dikuat kuasa semasa tempoh rasmi kempen pilihan raya selaras dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

"Tempoh rasmi kempen pilihan raya hanya bermula pada hari penamaan calon dan berakhir pada tengah malam sebelum hari mengundi," katanya dalam kenyataan seperti yang dilaporkan Bernama.

Sehubungan itu SPRM menasihati semua pihak supaya sentiasa mematuhi semua peraturan dan undang-undang sedia ada yang ditetapkan oleh PBT dan mana-mana pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat.