Seramai 42 petugas di Pejabat Pegawai Pengurus bagi menyelia Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di kawasan panas Parlimen Teluk Intan hari ini.

Seawal pukul 7.30 pagi, kelihatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah berada di perkarangan Dewan Bandaran Teluk Intan.

Menurut Pembantu Pilihan Raya P076, Mohd Reme Man, kawasan Parlimen Teluk Intan yang mempunyai dua kerusi DUN dan satu kerusi parlimen merupakan kawasan panas berikutan pertembungan calon berprofil tinggi.

Katanya, antara calon yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Teluk Intan adalah Presiden Parti Gerakan Malaysia, Datuk Seri Mah Siew Keong dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming serta Ahmad Ramadzan Ahmad Daud mewakili Pas.

“Kami menjangkakan pertembungan antara bekas menteri dan pengerusi parti pembangkang ini akan menarik perhatian ramai namun, kami telah membuat persiapan rapi sejak minggu lalu.

"Penyerahan nama calon akan bermula pada jam 9 pagi bersama dengan penyokong dan pencadang, berakhir pada 10 pagi sebelum diumumkan pada pukul 11 pagi nanti,” katanya kepada Astro Awani pada ini.

Mohd Reme berkata, bagi kerusi DUN Pasir Berdamar, BN meletakkan Ong Sun Chin untuk menentang wakil bukan Melayu dari parti Pas, S.Kumaresan dan penyandang kerusi itu,Terence Naidu (DAP).

Selain itu, penyandang kerusi DUN Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (BN) bakal berentap dengan Muhammad Faizul Mohamed Ismail (PKR) dan Mohd. Azhar Mohd. Rafiei (Pas).

“Kami masih menantikan pencalonan wakil parti Bebas setakat ini, dan diharap segalanya berjalan lancar pada hari ini,” ujarnya.