Sebanyak 124 laporan polis dibuat terhadap Anggota Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berhubung kenyataannya yang didakwa menghina Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang sedang gering, dalam ceramah politiknya baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang SAC Othman Nanyan berkata sehingga pukul 3 petang ini sebanyak 121 laporan polis telah dibuat di negeri ini, manakala tiga lagi laporan dibuat dari luar.

"Laporan polis terhadap dakwaan itu mula diterima pada 14 Januari di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran daripada jumlah itu sebanyak 30 laporan dibuat di daerah Maran, Bentong (24 laporan), Pekan (18), dan Kuantan (17).

Manakala di Temerloh sebanyak 12 laporan telah diterima, Raub (11), Jerantut (lima), Lipis (dua) dan masing-masing satu di Rompin dan Cameron Highlands," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, tiga laporan berhubung dakwaan berkenaan turut diterima dari luar Pahang iaitu Shah Alam, Petaling Jaya dan Brickfields.

Katanya, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

BACA: Sultan Pahang dalam keadaan sihat - Adnan Yaakob

Mahfuz juga katanya, telah hadir di IPK Kedah bagi memberi keterangan berhubung perbuatan itu dan rakaman percakapannya telah dibuat pada 10.30 pagi hingga 12.45 tengah hari tadi.

Dalam pada itu, polis katanya telah menghantar permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia semalam bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang menggunakan nama Rafie Awg Kecik.

Sementara itu di Pekan laporan polis terhadap Mahfuz turut dilakukan oleh Persatuan Ketua-Ketua Kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya bersama Ketua Kampung Daerah Pekan, Persatuan Pesara-Pesara Polis Daerah Pekan dan Persatuan Pesara-Pesara Tentera Daerah Pekan.

Selain itu Persatuan Ibu-Ibu Tunggal Daerah Pekan, Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Pekan, Kelab Anak Wawasan Pekan (Kawan) dan Persatuan Permuafakatan Masyarakat Orang Asli Parlimen Pekan turut melakukan perkara yang sama.

Pengerusi Persatuan Ketua-Ketua Kampung DUN Peramu Jaya, Mohd Yusoff Mohd Idrus berkata, tindakan Mahfuz menyelitkan Sultan Pahang sebagai bahan jenaka di dalam ucapan politiknya adalah sesuatu yang melampau.

"Sebagai rakyat di negeri ini, apatah lagi berasal dari bandar diraja, kami sangat marah dan rasa terhina dengan keterlanjurannya itu. Kami mahu Mahfuz membuat permohonan maaf secara terbuka (secara langsung)...bukan hanya melalui kenyataan di media sosial sahaja.

"Jika sesuatu permohonan itu dibuat secara langsung, kita dapat lihat kejujuran serta dan keihklasannya dan selagi dia tidak melakukannya (maaf) secara terbuka, kami anggap dia tidak ikhlas...perkara ini juga patut dijadikan pengajaran, fikir dahulu sebelum bercakap. Jangan ingat insititusi diraja boleh dipermainkan," katanya.

BACA: Persenda Sultan Pahang: Tengku Abdullah terguris dengan kenyataan Mahfuz

Semalam, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menzahirkan rasa dukacita serta tersinggung dengan tindakan Mahfuz yang memperlekehkan ayahanda baginda dan menganggap Mahfuz melanggar ketertiban seorang Melayu.

-- BERNAMA