TARIKH 9 Mei 2018 titik tolak perubahan arus politik negara. Tidak terkecuali lanskap politik Sarawak turut mengalami perubahan secara total. Susulan kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14 menyebabkan parti-parti komponen dari Sarawak keluar daripada bekas parti pemerintah, Barisan Nasional pada Jun tahun lepas.

Pembubaran Barisan Nasional Sarawak oleh parti-parti tempatan Sarawak yang diketuai oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) terus membentuk satu pakatan pembangkang yang bersifat melindungi hak keistimewaan dan inklusif untuk Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Apa yang pasti, pola perubahan politik Sarawak terutama sekali mengenai isu-isu setempat dan lebih kepada hal pembangunan negeri Sarawak yang memerlukan keperluan-keperluan asas yang harus ditangani. Ini terbukti apabila Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahma Zohari Tun Abang Haji Openg, dengan serta merta menangguh projek LRT di Sarawak dan mahu setiap ceruk kawasan di negeri Sarawak disediakan keperluan asas seperti jalan- jalan, air bersih dan elektrik.

Politik di Sarawak sangat unik, walaupun bahang suhu politik di Semenanjung dalam keadaan yang tidak menentu selepas Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan di Putrajaya.

Dengan kewujudan GPS yang lebih terarah kepada Autonomi Negeri Sarawak dilihat sebagai satu batu loncatan untuk kepimpinan negeri untuk menyuarakan kehendak dan hasrat Sarawak yang selama ini menginginkan kemajuan seiring dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Mandat yang diberikan oleh rakyat Sarawak pada pilihan raya negeri tahun 2016 semasa masih menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional haruslah diambil kira oleh GPS untuk memastikan Kesinambungan pembangunan terdahulu diteruskan.

Berideologikan ' Utamakan Sarawak' sejajar dengan hasrat dan matlamat penubuhan GPS, bukan bermakna GPS meminggirkan isu-isu nasional tetapi lebih kepada 'mata-mata' terhadap Kerajaan Persekutuan yang sedia ada supaya lebih seimbang selaras dengan Perjanjian Malaysia. Ini kerana dalam Manifesto Pakatan Harapan menyatakan akan menjaga hak-hak Sarawak dan Sabah seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem, Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg selaku Ketua Menteri Sarawak merangkap Pengerusi GPS terus mengorak langkah ke depan untuk memastikan hak-hak Sarawak terus terjamin di dalam kerangka Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

GPS yang diwakili oleh 19 Ahli Dewan Rakyat dan 3 AhIi Dewan Negara (Senator) di Parlimen. Manakala di peringkat Dewan Undang Negeri pula, GPS menguasai 72 kerusi dan memerintah Kerajaan Negeri Sarawak. Dan buat pertama kali dalam sejarah Kerajaan Negeri menjadi Kerajaan Pembangkang selepas 9 Mei 2018.

Kemunculan GPS dalam lanskap politik persekutuan pasca 9 Mei menjadi sejarah semenjak tertubuhnya Persekutuan Malaysia. Ini membuka lembaran didalam blok pembangkang di peringkat nasional yang mempunyai 4 faksi (faction) iaitu GPS, BN, PAS dan GBS (Gabungan Bersatu Sabah).

Bersempena dengan Perlancaran parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuka satu lagi lembaran baru untuk politik Negeri Sarawak. Rakyat Sarawak beranggapan inilah jalan terbaik untuk mereka terus berada dibelakang kepimpinan Negeri dan GPS yang lebih mengetahui kehendak dan hasrat mereka.

Legasi Allahyarham Tok Nan akan terus diperjuangkan demi kemaslahatan anak-anak Sarawak dan masa depan anak-anak Sarawak terus dijaga di dalam kerangka Persekutuan Malaysia.

GPS 'Utamakan Sarawak, Sarawak Selamanya'.



* Shairazi Aiman merupakan Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Negara dan juga Pemuda PBB DUN Tupong.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.