Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) malam tadi mengadakan persidangan khas perwakilan bagi membincangkan masa depan parti itu.

Presidennya, Dr Sim Hui Kian bagaimanapun enggan ditemui pemberita, sejurus selepas mesyuarat dan beliau terus bergegas meninggalkan perkarangan ibu pejabat parti di mana persidangan itu diadakan.

SUPP mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila tewas di kerusi parlimen Stampin, Mas Gading, Sarikei, Lanang dan Bandar Sibu dan hanya memenangi kerusi Parlimen Serian.

SUPP dalam kenyataannya berkata, parti itu menghormati keputusan rakyat dan mengucapkan tahniah kepada Pakatan Harapan kerana memenangi PRU14.

"Objektif utama SUPP adalah untuk terus mempertahankan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963," menurut parti itu.

Perwakilan yang menghadiri mesyuarat itu terdiri daripada mereka yang dilantik di peringkat cawangan dan mewakili anggota parti di peringkat akar umbi. -- Bernama