Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beberapa penipuan telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari pengundian, 9 Mei lepas, susulan menerima laporan daripada calon-calon partinya.

Perdana Menteri itu berkata, beberapa penipuan yang berlaku itu menyebabkan prestasi partinya kurang memberangsangkan.

“Ada beberapa kes calon kita (PPBM) sudah menang tetapi tiba-tiba datang peti undi yang lain dan kemudian mereka kalah.

“Ada juga kes (melibatkan) beratus-ratus undi rosak hingga berjumlah antara 700-800 undi,” kata beliau dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PPBM di ibu negara.

Dalam pada itu, Dr Mahathir akan mempertimbangkan ahli-ahli UMNO yang ingin menyertai partinya tetapi dengan syarat-syarat yang ditetapkan.


“Ahli-ahli UMNO boleh sertai parti kita tetapi mereka perlu keluar daripada UMNO dan perlu menjadi ahli bebas dahulu.

"Kemudian, mereka perlu menyatakan pendirian terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan kita akan mempertimbangkan kemasukan mereka,” kata Dr Mahathir dalam satu sidang media di ibu negara.

Menurut Perdana Menteri itu, jika sebelum ini partinya tidak mendapat perhatian tetapi kini dalam masa satu hari partinya menerima hampir 1,000 permohonan kemasukan sebagai ahli.

Beliau turut berkata, kemenangan pada PRU14 lepas merupakan satu kejutan dan beliau berbangga peralihan kerajaan dapat dilakukan tanpa sebarang keganasan.