Penggunaan logo baharu Pakatan Harapan (PH) buat pertama kali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong dan Seri setia dijangka mampu memenangi hati pengundi.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, penggunaan hanya satu logo adalah bukti wujud jalinan kerjasama yang utuh di antara empat parti komponen dalam PH.

“Logo baru PH ini sebenarnya memberi peluang keemasan kepada calon PH kerana menunjukkan petanda positif untuk parti itu mempertahankan kedua-dua kerusi pada PRK kali ini.

“Sebelum ini mereka beriya-iya untuk menggunakan logo PH dan apabila ia akhirnya terlaksana saya berpendapat perkara tersebut membuktikan bahawa wujudnya kesepakatan antara empat parti komponen PH,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini pada Ahad.

Bagaimanapun, tegas Rusdi, PH juga perlu ambil kira cara untuk mempengaruhi pengundi muda dan pertengahan untuk terus mengundi mereka bagi mengekalkan kedua-dua kerusi DUN itu.

Pada Sabtu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akui akan menggunakan sebaiknya tempoh 21 hari berkempen bagi memperkenalkan logo rasmi PH kepada pengundi.

BACA: PRK Balakong dan Seri Setia: Logo baru, satu lawan satu dan kerjasama Pas-UMNO

BACA: Kenali logo PH, tak kenal maka tak cinta - Dr Wan Azizah

PH yang diluluskan sebagai sebuah gabungan empat parti yang sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Mei lepas terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).