Pas tidak akan meletakkan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands bulan depan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut laporan Bernama, katanya keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) hari ini mengumumkan 26 Januari 2019 sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (P.078) Cameron Highlands.

Pengerusinya Azhar Azizan Harun berkata, pengumuman itu dibuat selepas SPR menerima perakuan daripada Mahkamah Pilhan Raya mengenai pengisytiharan pembatalan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei lalu bagi kerusi berkenaan.

BACA: PRK Cameron Highlands: Hari mengundi 26 Jan, penamaan 12 Jan

PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan 32,009 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di 88 saluran di 31 buah pusat mengundi.

Daripada jumlah itu, 31,750 merupakan pengundi biasa, 247 pengundi awal dan 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menjangkakan PRK itu akan menelan perbelanjaan sebanyak 3.5 juta ringgit.