Pakatan Harapan (PH) mengakui partinya tidak mempunyai peluang secerah Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi Parlimen P78 Cameron Highlands berdasarkan kekuatan yang dimiliki BN terutama di kawasan Orang Asli.

Pengarah Pendidikan Politik DAP, Senator Liew Chin Tong berkata, PH tidak mempunyai kelebihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands berbanding BN dan hakikat itu perlu dihadapi mereka.

"Memang peluang kita tidak secerah BN dan mereka memang lebih kuat (sokongan) terutama di kawasan Orang Asli dan ini adalah hakikat yang perlu kita hadapi.

"Walaupun peluang PH tidak sebaik BN tetapi kita masih ada 13 hari lagi untuk bekerja bersungguh-sungguh supaya boleh mencipta sejarah menang di Cameron Highlands dengan mendapat sokongan yang lebih tinggi di kawasan Orang Asli," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon PH bagi PRK Cameron Highlands, M. Manogaran yang melawat Orang Asli di Kampung Sungai Relong di Pos Mensun pada Ahad.