Meletakkan calon Orang Asli oleh Barisan Nasional (BN) memainkan peranan serta sentimen penting dalam mempengaruhi faktor kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Kamaruzaman Yusof berkata, Orang Asli sentiasa berpegang kepada janji-janji mereka lebih-lebih lagi peratus pengundi kumpulan itu antara yang terbesar di dalam Parlimen negara.

"Kebiasaannya sikap Orang Asli iaitu 22 peratus ini merupakan antara terbesar di Parlimen Malaysia, contohnya sikap Orang Asli di Gua Musang contohnya, mereka ada sentimen percaya dan berpegang kepada janji-janji mereka yang sangat kuat, dan kebetulan juga calon BN daripada kalangan mereka, jadi saya jangka mereka dapat undi banyak, atau kita boleh sebut kekal undi mereka kepada BN.

"Jumlah pengundi Melayu iaitu 34 peratus lebih 10,000 pengundi berdasarkan daftar memilih dulu. BN akan memainkan peranan yang sangat efektif dalam memainkan sentimen agama, sentimen Melayu dan sentimen berpegang teguh kepada Raja-raja untuk kekal kedudukan di Cameron Highlands. Mereka juga berkuasa di kerajaan negeri, ia kelebihan kepada BN.

"Bagaimanapun jika calon Pakatan Harapan, M Manogaran yang kalah dahulu tidak sampai enam ratus, dan sekarang mereka hendak menang, mereka perlu berusaha dan berjaya mendapatkan keseluruhan undi Cina iaitu kira-kira 9,000 dan mesti menguasai keseluruhan undi India," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.


BACA: Kayveas tarik diri PRK Cameron Highlands

BACA:
Kemampuan BN terhad jika menang di Cameron Highlands - Penganalisis

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PH, BN dan dua calon bebas.

Ia membabitkan calon PH; M Manogaran, calon BN dan Ramli Mohd Noor serta dua calon bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.



Dalam pada itu, beberapa isu termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, salah guna kuasa turut menyumbang kepada sentimen pengundi selain isu-isu lapangan yang akan timbul sepanjang minggu kempen PRK.

Dalam pada itu, Dr Kamaruzaman menjelaskan, penarikan diri Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas daripada menjadi calon dipercayai kerana perbincangan bersama PH.

Katanya, situasi itu memberi suntikan kepada PH sendiri sekali gus mempengaruhi sokongan pengundi kepada M Manogaran.