Sehingga kini, dua calon telah mengumumkan secara rasmi akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai depan.

Barisan Nasional (BN) menamakan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan, Mohd Sharim Md Zain, 41, sebagai calon parti itu bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun.

Manakala seorang calon bebas yang juga Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pekan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, turut mengumumkan menawarkan diri untuk bertanding.

Bagaimanapun, menurut sumber, sehingga kini terdapat seorang lagi calon bebas telah membayar deposit untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Ia memberi gambaran bakal berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya itu. SPR sebelum ini mengesahkan 10 borang pencalonan telah dijual setakat ini.

Namun, ia hanya akan disahkan jika calon berkenaan menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Pekan pada Sabtu.

Penamaan calon dijangka bermula pada jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi.