Perikatan Nasional (PN) hanya akan meletakkan seorang calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, bulan depan.

Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, keputusan itu adalah bagi mengelakkan pertembungan antara parti komponennya yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Alhamdulillah, hari ini PN bersatu hati untuk memastikan tidak berlakunya sebarang pertembungan di antara parti komponen dalam PRK itu nanti.

“Kita hanya akan memilih seorang calon dan semua parti komponen akan beri sokongan penuh kepada calon itu nanti,” kata beliau yang juga Pengerusi Bersatu Perak.

Ahmad Faizal ditemui media selepas menyaksikan pertukaran dokumen menandatangani Komitmen Pelaburan Negeri Perak melibatkan tujuh syarikat anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi PRK DUN SLIM pada 15 Ogos depan manakala tarikh mengundi awal 25 Ogos dan hari mengundi 29 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong apabila penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Allahyarham yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dilaporkan meninggal dunia di Hospital Bentong, Pahang kerana mengalami serangan jantung.