Barisan Nasional (BN) telah mengesan satu gerakan langkah terdesak oleh pihak tertentu dengan menggunakan taktik kotor untuk memfitnah calon BN Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gerakan itu adalah satu usaha yang jijik serta menjengkelkan dengan menggunakan slip bayaran kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & Partners pada tahun 2012.

Menurut beliau yang juga Pengarah BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar, slip bank itu dijadikan bahan kempen seolah-olah Mastura menerima habuan sebanyak RM500,000 pada pilihan raya ini daripada seseorang.

“Saya telah mengarahkan laporan polis dibuat dengan kadar segera supaya pihak polis dapat membuat penyiasatan.

“Amat malang sekali dalam bulan Ramadan yang mulia ini, fitnah keterlaluan seperti ini dilakukan bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil ini. Ini merupakan suatu perbuatan yang amat jelek,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Dr Zambry menjelaskan, pada hakikatnya slip bayaran yang ditonjolkan hanyalah bayaran atau pendahuluan kepada firma guaman Mastura, Yazid Baba & Partners, di mana beliau merupakan seorang rakan kongsi.

“Adalah lumrah untuk sesiapa juga memasukkan wang ke dalam akaun firma guaman atas pelbagai tujuan seperti wang deposit pembelian rumah, bayaran perkhidmatan guaman, pembelian hartanah atau pembelian saham.

"Akaun bank firma, bukan akaun peribadi, di mana ia akan diaudit oleh Majlis Peguam setiap tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, peguam tidak boleh menggunakan wang di dalam akuan berkenaan kerana perbuatan sedemikin melanggar etika seorang peguam dan boleh didakwa mahkamah.

Oleh itu, katanya, tidak timbul Mastura terlibat dalam mana-mana aktiviti serta kegiatan yang melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi-pengundi Kuala Kangsar agar tidak terhasut dengan fitnah jahat ini.