Kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Kuala Kangsar akan datang tidak akan mengubah pengundi daripada menyokong Barisan Nasional (BN), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata ini disebabkan rakyat telahpun hilang kepercayaan terhadap bekas perdana menteri itu.

"Kami gembira jika beliau datang (ke Kuala Kangsar) sebab saya tak fikir beliau akan dapat memancing undi oleh kerana rakyat akan hanya membenci kehadirannya dan barangkali mengundi kami," kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu di lobi Parlimen di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata rakyat tidak hanya menerima apa yang akan diperkatakan oleh Dr Mahathir dan pembangkang semasa berkempen.

"Dr Mahathir kini sebahagian daripada pembangkang dan mereka akan bercakap tentang perkara yang buruk dan mewujudkan pelbagai isu. Sama ada rakyat mendengar atau tidak, mereka menang atau tidak, terpulang kepada rakyat untuk menilai," katanya.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah Anggota Parlimen Sungai Besar dan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Noriah Kasnon.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sungai Besar juga ditetapkan pada 18 Jun. Penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu adalah pada 5 Jun.