Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin, di sini, hari ini.

Mastura, 55, yang ditemani isteri timbalan perdana menteri Datin Seri Hamidah Khamis, ibu mentua Mastura, Rahmah Abdullah serta dua anaknya - Wan Iskandar Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Wan Muhammad Amar, tiba pada 8.30 pagi di pusat mengundi berkenaan.

Beliau yang berpakaian jubah berwarna hitam turut beratur dan beramah mesra dengan pengundi lain di saluran tiga dan dilihat selesai mengundi jam 8.38 pagi.

PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga suami Mastura, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mastura, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Tiga lagi calon itu tidak berdaftar sebagai pengundi di kawasan Kuala Kangsar.

Sebanyak 32,949 orang layak mengundi (termasuk 312 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir (luar negara) pada PRK itu.

Sebanyak 23 pusat mengundi dengan 69 saluran mengundi untuk PRK itu dibuka bermula 8 pagi ini dan akan ditutup pada 5 petang.