Selepas senarai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh diumumkan, kempen dan jentera-jentera bagi setiap parti yang bertanding sudah boleh dilihat mula aktif berkempen di sekitar kawasan parlimen itu.

Bagi calon yang bertanding, mereka akan berkempen secara habis-habisan bagi memenangi hati pengundi.

Namun begitu, apakah sebenarnya yang menjadi ciri-ciri yang dilihat penduduk di Permatang Pauh selepas mengetahui senarai calon yang menawarkan diri menjadi wakil mereka menjelang 7 Mei nanti, kepimpinan atau pembangunan?

Bagi pesara, Soffian Abdullah, 63, dia memilih kepimpinan kerana baginya pembangunan di Permatang Pauh sudah memadai.

"Kami hanya mahu kebajikan daripada pemimpin. Pembangunan sedia ada di Permatang Pauh ini sudah mencukupi.

"Bagi pihak orang Melayu di Permatang Pauh, mereka ini tidak mahu pembangunan. Pembangunan yang selalu mencecah berjuta-juta ringgit ini yang akan membuat mereka runsing dan kemudian akan mengakibatkan mereka terasing dengan pembangunan itu," luah Soffian.

Berbeza dengan pendapat Soffian, Jurinah Mohd Noh,61 berpendapat pembangunan adalah lebih baik namun pembangunan yang dimaksudkan beliau adalah dari segi kebajikan penduduk.

Bagi Siti Salmiah Daud, 63 pula, kepimpinan dan pembangunan merupakan dua perkara penting untuk penduduk Permatang Pauh.

"Kita mahukan pemimpin yang prihatin yang membawa suara rakyat ke Parlimen. Pemimpin ini juga harus membantu rakyat dari segi pembangunan Permatang Pauh dan menitik berat kebajikan kami," ujar Salmiah.

PRK Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Rakyat Malaysia dan seorang calon bebas.

Empat calon berkenaan ialah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).

BACA: Pertandingan empat penjuru di Permatang Pauh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala pengundian awal 3 Mei.

PRK ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.