Bekas penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya, hilang kelayakan untuk membuat pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen itu.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Anwar hilang kelayakan untuk mengundi pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei itu berdasarkan Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 119 (3) Perlembagaan Persekutuan menjelaskan seseorang itu akan hilang kelayakan untuk mengundi sekiranya :

1) Pada tarikh kelayakan ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan; atau

2) Sebelum tarikh kelayakan dia telah disabitkan atas suatu kesalahan di dalam mana-mana bahagian Komanwel dan dijatuhkan hukuman mati atau pemenjaraan selama tempoh melebihi dua belas bulan dan pada tarikh kelayakan itu dia masih kena menjalani apa-apa hukuman bagi kesalahan itu.

BACA : Kes Liwat II: Mahkamah putuskan Anwar bersalah, kekal hukuman penjara 5 tahun

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelonggaran untuk menentukan sama ada Anwar boleh mengundi pada PRK Permatang Pauh diserahkan kepada SPR, lapor BERNAMA.

Beliau berkata jika terdapat fasal membenarkan banduan mengundi, pihak SPR akan menyediakan kertas undi dihantar ke Penjara Sungai Buloh untuk individu itu mengundi.

BACA: SPR tentukan sama ada Anwar boleh mengundi PRK Permatang Pauh

Namun Abdul Aziz berkata, SPR tidak mempunyai kuasa untuk memastikan Anwar dibenarkan untuk keluar mengundi semasa PRK Permatang Pauh memandangkan ketika ini Anwar masih merupakan seorang tahanan.

"SPR akan hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada bagi semua pemilih termasuklah dalam kes Anwar ini," jelas Abdul Aziz dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada Ahad, naib presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga anak kepada Anwar, Nurul Izzah memohon supaya diberikan kelonggaran kepada bapanya mengundi.

Beliau berkata permintaan itu sejajar dengan saranan Ahmad Zahid pada Julai 2013, bahawa kementerian sedang mengkaji mekanisme yang sesuai membolehkan banduan mengundi pada pilihan raya akan datang.

"Saya sambut baik saranan Menteri Dalam Negeri dan mencadangkan agar PRK Permatang Pauh dijadikan projek perintis kayu ukur, dengan membenarkan Anwar, yang kami tegaskan sebagai tahanan politik, mengundi pada 7 Mei nanti," kata Izzah dalam laporan Bernama yang sama.

Pada 22 Julai 2013, Zahid dilaporkan berkata bahawa antara aspek yang perlu diteliti ialah mengenai undang-undang yang diperuntukkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan banduan mengundi.

BACA: Menteri: Kaji mekanisme untuk banduan mengundi

Katanya, jika banduan yang telah tiga tahun dalam penjara atau dihukum penjara lebih daripada tiga tahun, mungkin perlu mekanisme sesuai untuk (membolehkan) mereka mengundi di kawasan penjara ditempatkan.