Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim layak untuk bertanding kerana telah mendapat pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pengampunan itu adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"SPR mengambil pendirian bahawa Anwar berkelayakan menjadi calon dan seterusnya bertanding pada PRK Parlimen Port Dickson, P132," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK itu di sini hari ini.

BACA: PRK Port Dickson: Pertandingan tujuh penjuru antara PH, Pas, 5 calon Bebas

Terdahulu, wakil PAS, Ramli Ismail, 69, mengemukakan surat bantahan kepada SPR pada 9.32 pagi yang antaranya menyatakan kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan hanyalah merujuk kepada pengampunan terhadap pelaksanaan hukuman sama ada meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman, bukan bermaksud membatalkan secara langsung sabitan kesalahan jenayah.

Sementara itu, ditanya mengenai status Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRK tersebut, Azhar Azizan berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, siasatan terhadap seseorang tidak memberi sebarang kesan kepada kelayakannya sebagai calon pilihan raya.

Dalam perkembangan lain, Azhar Azizan berkata SPR telah membuat beberapa penambahbaikan antaranya mewujudkan dua saluran bagi pengundi berusia 60 tahun dan melanjutkan tempoh mengundi selama 30 minit iaitu dari 8 pagi hingga 5.30 petang.

"Selain itu, kami menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK P132 mencecah 70 peratus.

"Keputusan PRK dijangka diumumkan sebelum 10 malam pada hari pengundian 13 Okt ini," katanya.

Beliau berkata saluran mengundi juga ditambah kepada 171 berbanding 145 sebelum ini selain menambah petak undi kepada tiga berbanding dua petak sebelum ini.

"Pengundi disaran membuat semakan daftar pemilih lebih awal untuk mengetahui maklumat pusat undi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui laman web SPR atau telefon 03-88927018, SMS 15888 atau melalui aplikasi mySPR.

"Bagi pengundi yang sudah mengetahui maklumat awal, mereka boleh mencatat maklumat tersebut dan membawanya semasa hari pengundian tanpa perlu menyemak di barung SPR," katanya.

Selain itu, SPR juga telah melantik 72 pemerhati daripada tujuh organisasi merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan organisasi tempatan berkelayakan untuk memantau proses pilihan raya tersebut.

"Mereka ialah 11 orang daripada Jawatankuasa Pembaikan Khas Peruntukan Undang-undang Pilihan Raya, sembilan daripada Institut Darul Ehsan, 18 daripada Bersih 2.0; 10 daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, 12 daripada ENGAGE dan 10 orang daripada Kelab Pemikir Politik Nasional.

"SPR juga telah membenarkan dan memberi status pelawat kepada dua wakil badan antarabangsa Intergovernmental Organisation yang berpangkalan di Australia," katanya. -- Bernama