Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara peribadi tidak bersetuju dengan keputusan pucuk pimpinan untuk tidak meletakkan calon pada PRK Port Dickson, bulan depan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan masih perlu dihormati kerana ia melibatkan suara daripada semua pihak termasuk akar umbi.

“Saya akur dengan keputusan itu, tetapi pucuk pimpinan parti perlu turun ke Port Dickson bagi memberi penjelasan kepada ahli apa yang perlu dilakukan pada hari mengundi PRK itu kelak.

“Adakah mereka (ahli) perlu mengundi pihak lawan? adakah mereka langsung tidak perlu mengundi? atau apa yang akan terjadi sekiranya mereka mengundi (pihak lawan)? sekiranya mereka mengundi pihak lawan, adakah mereka akan dikenakan tindakan tata terbit mengikut perlembagaan parti?

“Ini antara kesan yang akan kita (parti) alami sekiranya kita membuat keputusan di luar daripada kebiasaan,” katanya pada majlis ramah mesra bersama Umno Bahagian Tebrau di Savanna Hill Resort, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Umno Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad; Setiausaha Umno Johor, Datuk Samsol Bari Jamali dan Ketua Umno Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Dalam masa sama, Hishammuddin yang juga Ketua Umno Bahagian Sembrong turut memaklumkan beliau bersedia untuk menjadi penghubung antara pimpinan negeri dan pusat.

Katanya, kerjasama antara perhubungan negeri dan pusat perlu diperkukuh dan untuk itu beliau akan membantu sedaya mungkin.

“Saya boleh bantu, (Pengerusi Umno Johor) Hasni dan juga rakan-rakan untuk memahami dinamik politik di peringkat pusat walaupun bukan dalam keadaan kita memerintah. Saya rasa itu lebih konstruktif daripada melagakan pemimpin kita dalam parti.

“Lebih mengejutkan sekarang, bila saya tidak pegang sebarang jawatan, saya dapat jumpa lebih ramai orang di peringkat akar umbi, mereka ini jumpa saya dengan ikhlas dan bukan untuk kepentingan tersendiri,” katanya.

Jelasnya, perkara itu mesti dilakukan bukan secara kosmetik atau dibuat-buat, tetapi perlu wujud dengan hubungan keikhlasan, kejujuran dan kepercayaan di antara pemimpin semua peringkat.

“Keadaan berubah, dulu memerintah kita ada tugas nak bangunkan negeri masing-masing sementara parti boleh menguasai kerajaan dan menentukan dasar kerajaan negeri.

“Tetapi dalam keadaan yang berbeza hari ini, lebih penting untuk kita wujudkan hubungan rapat di antara perhubungan negeri dan pusat,” katanya.