PKR bukan seperti Barisan Nasional dan tidak mengamalkan semangat politik ‘cash is king,’ kata pengarah komunikasi parti Fahmi Fadzil.

Beliau berkata tidak timbul soal cara kempen Pakatan Harapan sama seperti Barisan Nasional kerana pengumuman program yang dibuat calon Pilihan Raya Kecil PRK Port Dickson bersifat am dan tidak khusus kepada individu.

“Ini salah faham yang sangat besar kerana kami tidak ambil semangat politik ‘cash is king.

“Kami tidak menawarkan wang tunai, kami percaya kepada kuasa rakyat bukan duit,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Port Dickson di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan calon Pilihan Raya Kecil Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan projek besar dan melancarkan program tuisyen percuma pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen.

Pengumuman Anwar itu membangkitkan kritikan pelbagai pihak terutama daripada pihak lawan.

Tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, tindakan Anwar tidak menyalahi peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Fahmi berkata teguran SPR itu sebenarnya tidak hanya dituju kepada Anwar bahkan kepada semua calon mengenai tata dan etika semasa PRK ini.

“Bagi saya tidak ada masalah berkaitan sogokan rasuah kerana tidak ada bukti kukuh seorang terima hasil wang untuk ubah sokongan mereka.

“Dalam kes ini, (Anwar) bukannya beliau beri terus kepada setiap individu tapi semua. Siapa yang nak boleh ambil, siapa tak nak jangan ambil,” katanya lagi.