Peratusan keluar mengundi bagi pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang berlangsung hari ini mencatatkan 96 peratus daripada 110 pengundi yang layak mengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataannya berkata peratusan tinggi itu diperoleh selepas pusat mengundi di dua lokasi ditutup tengah hari tadi.

Pusat Mengundi awal di Pangkalan Udara Sendayan dan Balai Polis Rantau dibuka pada 8 pagi sebelum ditutup pada 12 tengah hari tadi.

Berdasarkan perangkaan SPR, seramai 110 orang daripada jumlah keseluruhan 118 orang pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.27 Rantau layak mengundi pada Selasa.

Mereka merupakan 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan dan 36 orang anggota polis yang akan mengundi di Balai Polis Rantau.

Baki seramai 8 orang pengundi terdiri daripada tentera akan mengundi secara pos.

Semua peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis dan pengiraannya akan dibuat pada hari pengundian 13 April di pusat penjumlahan undi di SJKC Bandar Sri Sendayan.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Dr Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH); Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua lagi calon bebas iaitu Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin.