PRK Sandakan: Cabaran terbesar Team Shafie

PRK Sandakan: Cabaran terbesar Team Shafie
Kenaikan kos keperluan harian, isu penculikan yang masih menjadi kebimbangan, kejatuhan harga minyak sawit, penurunan jumlah pelancong antara isu yang bakal dibangkitkan pada PRK Sandakan kali ini. - Gambar hiasan
SANDAKAN: Dengan lebih 40,000 pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada 11 Mei ini, pelbagai isu setempat menjadi antara fokus sepanjang 14 hari kempen yang akan bermula sejurus selepas proses penamaan calon pada Sabtu ini.
 
Kejayaan dan kelemahan kerajaan Pakatan Harapan yang hampir setahun memegang tampuk pentadbiran negara dijangka bakal mendominasi siri kempen kali ini. 
 
Gabungan Kerajaan Negeri iaitu Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) bakal diuji buat pertama kali dalam PRK ini dengan DAP cuba mempertahankan kerusi pantai timur Sabah ini. 
 
Ia apabila DAP, mengumumkan Vivian Wong Shir Yee, anak bongsu kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt, penyandang kerusi tersebut bakal terus mempertahankan kerusi mendiang bapanya itu. 
 
Manakala, Parti Bersatu Sabah (PBS) yang berada di blok pembangkang bakal menjadi pesaing sengit di kerusi yang merangkumi separuh pengundi Cina dan 45 peratus lagi Islam Bumiputera. 
 
Datin Linda Tsen Thau Lin, yang merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi antara nama yang dikatakan bakal dihantar PBS bertanding di kerusi tersebut - yang kini telah mendapat sokongan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). 
 
Presiden PBS, Datuk Seri Maximus Ongkili dijangka mengumumkan calon mewakili partinya itu dalam sebuah majlis petang ini di  Sandakan.
 
Walaupun mendiang Stephen Wong pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 menang dengan selesa apabila mendapat 19,094 undi berbanding lawannya, Datuk Lim Ming Hoo yang hanya mendapat 8,996 undi; namun ia bukan tiket kemenangan mudah buat Vivian. 
 


Selain isu di peringkat nasional seperti merealisasikan manifesto, isu setempat turut memainkan peranan penting dalam PRK ini. 
 
Kenaikan kos keperluan harian, isu penculikan yang masih menjadi kebimbangan, kejatuhan harga minyak sawit, penurunan jumlah pelancong selain isu melibatkan nelayan tempatan perlu dilihat perlu dijadikan fokus kepada setiap calon. 
 
Bagaimanapun, antara perkara yang mungkin mengalih pandangan penduduk di Sandakan ini adalah pengumuman kelulusan peruntukan berjumlah RM2.28 bilion bagi 49 projek pembangunan di Sandakan yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini. 
 
Ia dijangka bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk di Parlimen Sandakan tetapi juga di keseluruhan daerah ini yang turut merangkumi Parlimen Batu Sapi dan Libaran. 
 
Penduduk Sandakan terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, Kadazandusun dan suku-suku lain seperti kaum Bajau, Murut, Sungai, Bugis, Suluk dan sebagainya. 
 

Tag: Lim Guan Eng, Maximus Ongkili, DAP, Pakatan Harapan, PBS, pilihan raya umum, Pantai Timur, Parlimen, prk sandakan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.