PRK Sandakan: Polis buka enam kertas siasatan

PRK Sandakan: Polis buka enam kertas siasatan
Tambah Omar, daripada enam kertas siasatan berkenaan, empat daripadanya sudah dirujuk kepada pihak Majistret dengan keputusan dikeluarkan adalah tiada tindakan lanjut (NFA) - Foto Bernama
Sandakan: Sejumlah 12 laporan polis dan enam kertas siasatan sudah dibuka sepanjang tempoh penamaan calon sehingga tamat kempem Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P186 Sandakan. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, daripada jumlah keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, satu daripadanya adalah melibatkan kes mendakwa pihak tertentu memberi wang kepada pengundi.

"Kita terima laporan pada jam 12.06 pagi tadi, dalam laporan tersebut menyatakan ada pihak-pihak tertentu telah memberi wang kepada pengundi.
"Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 10 (b) Akta Kesalahan Pilihanraya,"katanya.

Omar berkata demikian dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, pada Sabtu.

Omar berkata pihaknya sebelum ini sudah membuka kertas siasatan membabitkan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yakni kempen tanpa permit, dua siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat  merosakkan poster), satu kes Seksyen 426 Kanun Keseksaan (khianat banner) dan satu kes mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Tambah Omar, daripada enam kertas siasatan berkenaan, empat daripadanya sudah dirujuk kepada pihak Majistret dengan keputusan dikeluarkan adalah tiada tindakan lanjut (NFA).

Sementara itu, mengulas mengenai tahap keselamatan sepanjang proses membuang undi di 19 pusat pengundian PRK Sandakan, beliau mendedahkan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku setakat ini dan perjalanan proses membuang undi sejak pagi tadi juga berjalan dengan lancar.