Tutup

PRK Sandakan: Sayangnya hanya calon bebas sedia berforum - Bersih 2.0

PRK Sandakan: Sayangnya hanya calon bebas sedia berforum - Bersih 2.0
Forum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan anjuran Bersih hanya akan menyaksikan penyertaan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat, Chia Siew Yung.
SANDAKAN: Forum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan anjuran Bersih hanya akan menyaksikan penyertaan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat, Chia Siew Yung.

Bersih 2.0 (Sabah) dalam satu kenyataan hari ini berkata calon DAP dan PBS tidak dapat hadir kerana, menurut kedua-duanya, mempunyai jadual padat dan tidak dapat diubah.
“Mengambil kesempatan PRK P186 Sandakan yang sedang berjalan sebelum ke hari pengundian pada 11 Mei 2019 ini, Bersih Sabah akan menganjurkan satu forum untuk membawakan suara calon-calon yang bertanding tentang apa idea dan perancangan mereka sekiranya memenangi kerusi Parlimen Sandakan ini.

“Kami telah menghantar jemputan kepada semua calon-calon, namun sayangnya hanya calon bebas yang sedia untuk berforum,” memetik kenyataan itu.
Memetik kenyataan itu, PRK kali ini adalah yang pertama untuk rakyat Sabah selepas 9 Mei 2018, dan menjadi penanda satu tahun pemerintahan Pakatan Harapan dan Warisan di Sabah.

“Sehubungan itu, kami ingin menyemarakkan ruang kebebasan bersuara dan demokrasi dalam negara dengan menampilkan calon-calon untuk berkongsi visi mereka untuk membantu rakyat Sabah khususnya dan rakyat Malaysia umumnya membuat keputusan dalam PRK Sandakan,” memetik kenyataan itu lagi.

Forum PRK Sandakan akan diadakan pada 6 Mei ini, jam 10 pagi bertempat di Hotel Labuk, Bandar Labuk Jaya, Sandakan.

Forum ini terbuka kepada orang awam dan masuk adalah percuma.