Pakatan Harapan (PH) akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih dalam anggaran majoriti 1,989 undi.

Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, angka itu diperolehi dari kira-kira simulasi yang dilakukan untuk PRK kali ini.

Jelasnya, isu pertandingan empat penjuru juga bukan pertama kali dihadapi mereka di dalam PRK.

"Kita sudah ambil kira wakil kita yang menang, kalau buat simulasi 1,989 undi majoriti.

"Untuk Barisan Nasional dan Pas pula itu usaha mereka untuk bergabung, itu masalah mereka, tidak tahu siapa tunggang siapa.

"Pas tunggang UMNO atau UMNO tunggang Pas," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon PH untuk PRK Semenyih di sini, pada Khamis.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57 tahun, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

BACA: Muhammad Aiman calon PH PRK Semenyih

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei tahun lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Dalam pada itu kata Muhyiddin, PRK Semenyih akan menjadi medan tujuh Ahli Parlimen yang juga bekas pemimpin UMNO yang kini menyertai Bersatu membuktikan kesetiaan masing- masing.

"Mereka mungkin akan turun, ini platform uji kesetiaan dan komitmen. Insya-Allah mereka akan turun berkempen," ujarnya.

Mereka adalah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor); Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).