Jangan salahkan PAS jika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, ini kerana parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat tidak turun berkempen bersungguh-sungguh.

"Saya bimbang PRK Semenyih kali ini Bersatu kalah, bukan kerana kita (pembangkang), tetapi disebabkan parti DAP dan PKR tidak berkempen bersungguh-sungguh.

"Kita sudah nampak mereka tidak turun berkempen bersungguh-sungguh," katanya dalam kuliah mingguan di Rusila, Marang pada Jumaat.

PRK DUN Semenyih bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan Kuan Chee Heng (Bebas).

Tempoh kempen berbaki seminggu sebelum pengundi kawasan itu membuang undi mereka pada 2 Mac nanti.