PRK Seri Setia: Calon PH fokus isu kemiskinan, perumahan kos rendah

PRK Seri Setia: Calon PH fokus isu kemiskinan, perumahan kos rendah
Halimey (dua, kiri) berarak menuju ke Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N32 di Dewan Sivik Petaling Jaya. -Astro AWANI / Shahir Omar
PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N32 Seri Setia, Halimey Abu Bakar akan memberi fokus utama kepada isu kemiskinan dan perumahan kos rendah kawasan itu.

Antaranya, melibatkan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Subang dan Desa Mentari.

Pada masa sama, beliau dan jentera pilihan raya akan memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal milik PH.
“Saya dan rakan-rakan pimpinan akan memastikan kita kekalkan DUN Seri Setia. Saya akan ambil kira isu PPR Lembah Subang, tentang infrastruktur dan kawasan Desa Mentari sebab DUN ini banyak rumah kos rendah.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas pengumuman penamaan calon PRK Seri Setia di Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Halimey merupakan bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan berkhidmat dengan parti sejak 1998 termasuk aktif dengan kepimpinan di Selangor.

Beliau akan ditentang calon dari Pas, Dr Halimah Ali dalam pertandingan satu lawan satu pada 8 September ini.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada 2 Ogos lalu akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.