Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar menjelaskan bahawa kegagalan pihak penganjur untuk mendapatkan permit antara sebab mengapa pihaknya enggan menyertai program debat di Desa Mentari, pada Rabu.

Menurutnya, badan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi penganjur program tersebut juga terdiri daripada penyokong Pas, malah turut tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

"Saya tidak dapat satu pun jemputan secara rasmi daripada penganjur dan ini bukan masanya untuk berdebat kerana masa semakin suntuk.

"Jadi saya minta supaya Pas hentikanlah isu ini kerana ia bukan soal saya takut atau sebagainya, namun pelaksanaannya perlu mengikut cara betul," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita mengenai keengganannya menyertai program debat anjuran Gabungan Muafakat Penduduk Seri Setia yang dijadualkan berlangsung bersama calon Pas, Dr Halimah Ali, pada Rabu.

Halimah dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan beliau tiada masalah untuk berdebat dengan Halimey dan turut menyatakan kehadiran dalam program itu.

Sebelum ini, Halimey turut menolak untuk berdebat dengan Halimah dalam satu program anjuran Astro AWANI dan mendakwa tidak mendapat sebarang jemputan rasmi daripada penganjur.