Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis akan diketahui selewat-lewatnya jam 10 malam ini.

Setiausahanya, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata seluruh pusat mengundi akan ditutup pada jam 5.30 petang bagi membolehkan kerja-kerja pengiraan dilakukan oleh petugas SPR.

"Kita akan bawa kertas undi ini ke pusat penjumlahan dan keputusan dijangka selewat-lewatnya jam 10 malam ini," katanya ketika turun padang bagi meninjau perjalan PRK Sungai Kandis di Sekolah Rendah Agama Kampung Jawa.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perjalanan PRK kali ini, Mohamed Elias berkata buat masa ini, pihaknya mendapati jumlah pengundi yang keluar bagi menunaikan tanggungjawab mereka agak rendah.

Sehubungan itu, semua pengundi digesa dapat turun ke pusat mengundi bagi memilih calon masing-masing.

"Berbanding PRU14 lalu, kita tengok jumlah pengundi keluar agak kurang sedikit.

"Dan saya menyeru semua pengundi agar keluar untuk keluar mengundi dan melaksanakan tanggungjawab mereka," katanya.

Difahamkan, sehingga jam 10.30 pagi tadi, sekitar 18 peratus pengundi telah keluar untuk membuat pemilihan dalam PRK kali ini.