Semua komponen Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan saluran mesyuarat Majlis Tertinggi BN dalam isu pemilihan calon paling sesuai untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Johor.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid Tengku Hamid Jumat menegaskan, sebarang kenyataan peribadi yang membawa perdebatan di kalangan sukarelawan dan jentera BN hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Kebelakangan ini terlalu ramai pihak yang mengugut, mendesak dan memberi nasihat supaya calon di PRK Tanjung Piai diserah kepada MCA. Lebih memalukan, pada 26 September, Ketua MCA Bahagian Kapar, Song Kee Chai mengugut untuk keluar parti jika mereka tidak mendapat kerusi di Tanjung Piai.

"Pada 8 Oktober lepas pula, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran pula mendesak UMNO supaya tidak merampas kerusi MCA di Tanjung Piai. Di manakah Vigneswaran apabila MCA enggan menggunakan lambang BN pada PRK di Balakong lepas?

"Pada 10 Oktober pula, beberapa portal melaporkan Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub pula menyuarakan pandangan sama yang memihak kepada MCA," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

BACA: Tolonglah letak calon UMNO di Tanjung Piai supaya kami boleh menang - Tun M

BACA:
Demografi bukan faktor utama tentukan calon BN bertanding PRK Tanjung Piai

Sebelum ini, Setiausaha Aguna UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kepimpinan BN dalam proses menyenarai pendek senarai calon dari parti-parti komponen.

Jelasnya, BN akan mengumumkan calonnya untuk pilihan raya kecil parlimen Tanjung Piai sekurang-kurangnya seminggu sebelum hari penamaan calon pada 2 November ini.

Dalam pada itu tegas Tengku Putra, Kee Chai disaran keluar parti tanpa perlu menunggu penamaan calon kerana UMNO dan BN termasuk yang di akar umbi sudah tidak lagi termakan dengan ugutan seumpama itu.

"Kepada presiden-presiden dalam BN termasuklah Vigneswaran, sila gunakan saluran yang betul iaitu melalui mesyuarat MT BN untuk bergasak fikiran dan membuat keputusan muktamad mengenai isu berkenaan.

"Sementara untuk pihak veteran UMNO pula, saya cadangkan mereka berjumpa secara tertutup dengan pucuk pimpinan untuk menyampaikan pandangan dan sebarang nasihat mengenai calon di Tanjung Piai nanti," ujarnya.

Tambahnya, kewujudan pihak berkenaan bukan untuk menjadi kuasa pendesak lebih-lebih lagi apabila saluran yang tepat sentiasa terbuka untuk mereka bermesyuwarah.

"Sekarang, jika calon MCA dipilih bertanding di kerusi Tanjung Piai, ia mungkin akan menampakkan seolah-olah UMNO tunduk kepada desakan dan ugutan sementara jentera BN yang majoritinya terdiri dari akar umbi UMNO pula mungkin merasa kurang senang.

"Langkah terbaik adalah menyerahkan sahaja kepada pucuk pimpinan BN pusat dan Johor, lebih2 lagi dengan Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad yang berasal dari Pontian di mana Tanjung Piai dahulunya berada di bawah naungannya. Tentunya ada kelebihannya di situ In Sha Allah," katanya.

Pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor akan diadakan pada 16 November manakala hari penamaan calon ditetapkan para 2 Nov.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 September lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.