Keputusan Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai seolah-olah satu cubaan memecah-belahkan kerjasama parti itu dengan PAS.

Menurut Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, ini kerana ia bercanggah dengan pendirian Gagasan Sejahtera yang dipersetujui oleh PAS untuk meletakkan calon dari Barisan Nasional (BN).

“Ia membawa dua makna, pertama calon Berjasa telah memecahkan kerjasama politik itu kerana sepatutnya Berjasa tidak menghantar wakil memandangkan PAS juga tidak meletak wakil di Parlimen tersebut.

“Kemungkinan kedua juga, ia satu strategi yang dibuat oleh Gagasan Sejahtera untuk memastikan undi Melayu dipecahkan dan ia akan memberi kesan kepada calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Izani juga berpandangan, faktor calon dan sentimen kaum masih lagi tinggi pada PRK tersebut.

“Kita menjangkakan walaupun ada calon yang kita nampak, di sini calon Berjasa akan cuba memecahkan undi Melayu, calon Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan cuba memecah dominasi pengundi Cina, dan saya nampak ia akan memberi kesan kepada pengundi Melayu kerana pengundi Melayu mempunyai komposisi paling besar iaitu 58 peratus (%).

“Kita akan saksikan bagaimana khususnya calon Berjasa boleh memecahkan dominasi, yang mana mungkin ada pengundi-pengundi Melayu yang berkecuali untuk tidak memihak kepada calon Bersatu dan calon MCA daripada BN, akan mengundi calon Berjasa,” katanya.

BACA: Pertandingan 6 penjuru di PRK Tanjung Piai

PRK tanjung Piai pada 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon PH, Karmaine Sardini, 66; BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dan Gerakan, Wendy Subramaniam; Presiden Berjasa, Dr Badrulhisham Abdul Aziz; dan calon bebas, Dr Ang Chuan Lock.