Tutup

PRK Tanjung Piai: Prelude lembaran baru politik negara

PRK Tanjung Piai: Prelude lembaran baru politik negara
Parlimen P.165 Tanjung Piai dikatakan kubu kuat BN kerana calon BN daripada parti komponen MCA memenangi kawasan itu dengan majoriti besar pada PRU ke-11 pada tahun 2004. - Gambar hiasan
PENGUNDI kawasan Parlimen Tanjung Piai, Johor akan menyaksikan pertembungan hebat antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk merebut kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Mohd Farid Md Rafik daripada parti Bersatu.

Mohd Farid yang mewakili Pakatan Harapan (PH)  merampas kerusi tersebut daripada BN dengan majoriti tipis 524 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Jumlah pengundi berdaftar bagi kerusi Tanjung Piai adalah seramai 53,528 orang termasuk pengundi Melayu 52.11 peratus, Cina 46.5 peratus dan India 1.08 peratus.
Jumlah pengundi Melayu dan Cina adalah hampir seimbang dalam kawasan ini. Namun, kerusi Parlimen P.165 Tanjung Piai dikatakan kubu kuat BN kerana calon BN daripada parti komponen MCA memenangi kawasan itu dengan majoriti besar pada PRU ke-11 pada tahun 2004.

Calon BN memperolehi 28,046 undi manakala calon DAP hanya memperolehi 4,431 undi pada PRU ke-11.
Tetapi, pada PRU ke-12, jumlah undi BN merosot sedikit kepada 23,302 undi sambil sokongan DAP meningkat kepada 10,931 undi iaitu lebih dua kali ganda.


Peningkatan sokongan kepada DAP adalah dikatakan kerana perasaan tidak puas hati timbul di kalangan pengundi bukan Melayu terhadap BN akibat tercetusnya gelombang Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada akhir tahun 2007.

Namun, sokongan terhadap BN meningkat pada PRU ke-13  kepada  25,038 undi. Pada masa yang sama, undi DAP juga meningkat kepada 19,581 undi iaitu lebih 8,650 undi  daripada yang diperolehi pada PRU ke-12.

Namun, sokongan terhadap BN merosot pada PRU ke-14, iaitu kehilangan sokongan sebanyak 4,307 undi. Manakala, sokongan terhadap parti Bersatu (pembangkang ketika itu) meningkat sedikit kepada  21,255 undi iaitu peningkatan 1,674 undi daripada jumlah yang diperolehi pada PRU ke-13.

Antara faktor utama yang menyebabkan peningkatan sokongan kepada calon Bersatu pada PRU ke-14  adalah faktor peralihan sokongan pengundi Melayu hampir 10 peratus daripada BN kepada PH, kesan kempen 'change'  yang dicetuskan oleh Pakatan Harapan, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu anak Johor.

Dua DUN

Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.55 Pekan Nenas dan N.56 Kukup.

Pola pengundian bagi kedua-dua DUN pada PRU ke-12 , PRU ke-13 dan PRU ke-14 jelas menunjukkan BN mempengaruhi sebahagian besar pengundi Melayu sambil parti DAP dan PKR mempengaruhi sebahagian besar pengundi Cina.

Analisa juga menunjukkan, calon daripada MCA berjaya mengekalkan sokongannya sekitar 20,000 undi sejak kerusi ini dipertandingkan.

Malah, analisa pola pengundian juga menunjukkan  calon BN yang mewakili MCA berjaya meraih hampir 70 peratus sokongan pengundi Melayu dan lebih kurang 40 peratus sokongan pengundi Cina.



Jadi, walaupun jumlah pengundi Melayu dan Cina adalah hampir seimbang, sokongan pengundi  Melayu merupakan asas kepada kekuatan calon BN di kawasan ini.
 
Namun, senario politik telah berubah selepas PRU ke-14. Perjanjian Kemuafakatan politik UMNO-Pas yang terjalin pasca PRU ke-14 dijangka mengubah sentimen politik sebahagian besar pengundi Melayu.

Kesannya, penyokong tegar parti Pas iaitu seramai lebih kurang 3,000 pengundi akan mengalih sokongannya kepada calon BN pada PRK ini.

Sekiranya peralihan ini berlaku, maka sukar bagi calon PH untuk mempertahankan kerusi ini.

Di sebaliknya, peluang kemenangan bagi calon BN akan lebih cerah malah mampu menewaskan calon PH dengan majoriti 2,500 undi. 

Dalam pada itu, keputusan PRK yang akan diadakan pasca termeterinya Piagam Kemuafakan Nasional ini akan menunjukkan sejauh mana orang Melayu, termasuk orang Melayu yang menyertai UMNO dan Pas menerima dan menyokong piagam tersebut.

Keputusan PRK ini juga akan menunjukkan, malah membuktikan sejauh mana Piagam Kemuafakatan Nasional di antara kepimpinan UMNO dan Pas  benar-benar bersifat inklusif, meliputi warga bukan Melayu, terutamanya meliputi MCA dan MIC.

Malah, keputusan PRK ini juga akan menjadi 'prelude' untuk mengambarkan impak Piagam Kemufakan Nasional kepada PRU malah akan mempengaruhi keputusan PRU ke-15 dan seterusnya dalam medan politik Malaysia.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI