UMNO sukar menepis desas-desus pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar tidak mendapat sokongan mutlak akar umbi.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia tidak termasuk persoalan Mastura yang bukan anak tempatan Kuala Kangsar sendiri.

"Persoalan seterusnya ialah, jika ada tanda-tanda bahawa pemilihan Mastura sebagai calon tidak didokong oleh sesetengah peringkat dan sayap di dalam UMNO; siapa atau kumpulan mana sebenarnya yang menjadi tenaga utama yang mempengaruhi keputusan tertinggi UMNO," soalnya semasa sidang media di markas Parti Amanah Negara (Amanah) di sini hari ini.

Rafizi mengulas kenyataan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari di dalam sebuah akhbar yang tidak begitu gembira dengan pemilihan Mastura sebagai calon parti itu di Kuala Kangsar.

Kata Rafizi lagi, sebelum ini juga, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Jalil juga terpaksa membuat penafian terbuka bahawa sayap parti itu kecewa dengan pemilihan Mastura sebagai calon.