Parti Amanah Negara (Amanah) akan memutuskan pendirian sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangan DAP untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam mesyuarat parti itu esok.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, mesyuarat yang akan diadakan di Sungai Besar Selangor itu akan membincangkan beberapa agenda termasuk mengenai cadangan untuk mempercepatkan pilihan raya negeri di Pulau Pinang.

“Secara rasmi kami Parti Amanah belum membincangkannya (PRN), kami hanya akan berbincang esok, 14 haribulan, dalam mesyuarat penuh kami.

“Salah satu agenda ialah bersetuju atau tidak kalau diadakan akan pilihan raya di negeri Pulau Pinang, kami akan bincang esok dan akan beri pandangan balas,” kata Mohamad Sabu pada majlis rumah terbuka anjuran Amanah Pulau Pinang di Dewan Besar Sungai Dua, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sehingga kini parti itu juga tidak dimaklumkan mengenai rundingan antara parti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan pada Rabu lalu.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata pihaknya sedang menunggu perincian daripada DAP mengenai kewajaran PRN diadakan di negeri itu.

Menurut beliau, walaupun PRN dilaksanakan di Pulau Pinang, namun isu tersebut tidak hanya akan melibatkan negeri itu semata-mata.

“Sebagai rakan komponen, sudah tentu segala tindakan besar seperti ini perlu dapat konsensus, kerana ia bukan sahaja isu negeri Pulau Pinang walaupun PRN itu berlaku di Pulau Pinang, tapi kesannya kemungkinan akan beri kesan kepada seluruh negara,” katanya di majlis yang sama.

Pada Khamis, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memaklumkan pihak DAP dan Pakatan Harapan memerlukan lebih masa bagi membincangkan cadangan mengadakan pilihan raya awal di negeri itu.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut di Pulau Pinang akan diadakan selepas Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat membuat keputusan mengenai perkara itu.

Kata Guan Eng, PRN itu adalah satu cara untuk mengukur sokongan rakyat terhadap parti itu dan beliau yang berdepan dua pertuduhan rasuah berkaitan pembelian banglo berharga RM2.8 juta di Jalan Pinhorn di George Town di bawah nilai pasaran.