Gerakan Pulau Pinang hari ini mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan persiapan yang perlu dibuat sekiranya kerajaan DAP Pulau Pinang memutuskan untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut dalam masa terdekat.

Pengerusi Gerakan Teng Chang Yeow berkata sebelum ini, persiapan parti itu adalah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 yang dijadualkan pada 2018 namun, keadaan itu berubah susulan situasi politik semasa di negeri ini.

"Semua pihak harus bersedia dalam semua keadaan. Jadi, mesyuarat tergempar ini adalah untuk memastikan semua anggota Gerakan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan (sekiranya PRN diadakan)," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Beliau berkata Gerakan berhasrat bertanding di 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan presiden parti Datuk Mah Siew Keong sudah mengenal pasti calon berkenaan.

Rabu lepas, Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberitahu sidang berita bahawa DAP akan memberi masa kepada rakan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PKR dan Parti Amanah Negara) untuk berbincang sebelum membuat keputusan mengadakan pilihan raya negeri.