Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengikut kata konsensus yang dicapai Majlis Presiden Pakatan Harapan berhubung pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, ia sejajar dengan persetujuan yang dicapai antara parti ketika penubuhan Pakatan Harapan.

"Kami berpegang kepada apa yang dipersetujui. Jika ia adalah keputusan yang dicapai bersama, Amanah akan akur kepadanya," jelas Salahuddin kepada pemberita.

Ketika ditanya sama ada Amanah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri sekiranya ia dipersetujui, Salahuddin berkata partinya akan membuat persiapan sewajarnya jika keputusan untuk mengadakannya dipersetujui.

Beliau ditemui selepas mesyuarat bulanan Amanah di Sungai Besar petang Ahad.

Selain hal berkenaan pilihan raya negeri Pulau Pinang, Salahuddin berkata Amanah turut berbincang mengenai isu-isu semasa termasuk kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini berhubung saman sivil.

"Amanah berpendapat suatu tindakan harus diambil oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan," kata Salahuddin.