Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 66.61 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata peratusan itu merangkumi 749,083 orang pengundi yang mengundi di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Peratusan itu juga, katanya, adalah satu pencapaian yang baik terutamanya apabila mengambil kira keadaan Sabah yang kini berdepan peningkatan kes COVID-19.

"Ini merupakan pencapaian baik dalam keadaan wabak COVID-19 sedang melanda di zon merah di kawasan Lahad Datu, Tawau juga Sandakan.

"Walaupun pada peringkat awal kita sasar 75 peratus dan kemudiannya kita lihat keadaan kes semakin meningkat kita turunkan pada 70 peratus.

"(Tetapi) 66.61 peratus satu pencapaian baik, terima kasih pada rakyat Sabah walaupun dalam keadaan COVID-19 mereka telah melakukan kewajipan mereka sebagai pengundi," katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata secara keseluruhannya SPR berpuas hati dengan perjalanan proses pengundian bagi PRN Sabah.

Beliau berkata tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang perjalanan PRN itu dan pihaknya akan mengkaji kelemahan serta menambah baik operasi mereka.

“Secara keseluruhannya proses pengiraan undi juga berjalan lancar cuma ada sikit kelewatan kerana ada data yang dihantar ke pusat (dan) juga ada saluran yang lewat maka DUN berkenaan tidak dapat kita buat pengumuman.

“Cuma tadi dalam pukul 11 malam, sistem kita tergendala selama 25 minit, itulah sebabnya berlaku kelewatan sikit tetapi kita boleh pulih cepat,” katanya.

Pilihan raya itu diadakan susulan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai, sehari selepas bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih kerajaan pentadbiran Mohd Shafie.

-- BERNAMA