KUALA LUMPUR:Ketika teka-teki siapakah Ketua Menteri Sabah yang baharu masih belum terjawab sehingga kini, pemimpin yang bakal dilantik mengemudi pemerintahan kerajaan negeri itu nanti perlulah  disenangi semua lapisan masyarakat termasuk golongan elit politik.

Menurut Pensyarah Jabatan Sejarah Universiti Malaya yang juga Felo Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid, calon Ketua Menteri itu juga perlu mempunyai keutuhan perwatakan yang tegas dan mampu berdepan dengan apa sahaja permintaan daripada masyarakat.

"Satu perkara harus dilihat memainkan peranan penting dalam konteks kepimpinan di Sabah ialah bagaimana seorang Ketua Menteri yang boleh dilihat keutuhan perwatakan yang tegas dan mampu berdepan dengan permintaan, kepelbagaian yang ada dalam politik Sabah ketika ini.

"Contohnya, bagaimana kalau kita lihat persoalan tentang 'swing' dalam kalangan pengundi Kadazan Dusun Murut (KDM). Salah satu isu sangat dekat dengan pengundi dalam kalangan kerusi KDM ialah isu pendatang tanpa izin (PATI), ini bukan soalan mudah untuk ditangani jadi bagaimana seorang Ketua Menteri itu bersifat tegas amat penting ketika ini.

"Pada masa sama kehadiran beliau diterima semua pihak dan mempunyai kepentingan politik di Sabah. Jadi saya kira personaliti utama harus seorang yang boleh mendengar, menerima dan diterima masyarakat terutama di kalangan elit politik Sabah ketika ini," jelasnya dalam temubual Buletin Awani Khas pada Ahad.

Mengulas mengenai situasi terkini, jelas Dr Hamidin, kerjasama di antara parti di dalam Gerakan Rakyat Sabah (GRS) amat diperlukan dalam memastikan kestabilan politik terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu.

Katanya, penentuan kualiti politik akan dilihat apabila kematangan politik diterjemahkan setiap pemimpin dalam gabungan itu.

"Di sini kekuatan dalam konteks kematangan politik akan dilanjutkan pemimpin politik elit di Sabah dalam menjaga kualiti politik itu.

"Kerjasama itu perlu diperkukuhkan agar kestabilan itu kekal walaupun mempunyai enam kelebihan kerusi terhadap GRS, namun sekiranya ia berjaya dikukuhkan dengan kerjasama baik, saya kira mereka boleh bertahan untuk lima tahun akan datang," katanya lagi.

BACA: LAPOR LANGSUNG: GRS menang majoriti 38 kerusi

BACA: LAPOR LANGSUNG: Sehari selepas PRN Sabah - Apa seterusnya?

BACA: LAPORAN KOMPREHENSIF PRN SABAH, KLIK DI SINI


Pada Sabtu, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memperoleh majoriti mudah untuk mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 semalam.

GRS mendapat 38 kerusi, kelebihan satu kerusi daripada majoriti mudah 37 kerusi di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 73 kerusi sekarang.