Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menguasai sebahagian besar daripada 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.

Menurut keputusan yang disiarkan di laman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, GRS mendominasi sembilan kerusi baharu itu dengan lima daripadanya dimenangi BN manakala parti sekutunya, PN memenangi 3 kerusi dan PBS memenangi satu kerusi. Selebihnya dimenangi Parti Warisan Plus.

Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Bengkoka (Harun Durabi), Pantai Dalit (Jasnih Daya), Tanjung Keramat (Shahelmey Yahya), Sungai Manila (Mokran Ingkat) dan Lamag (Datuk Seri Bung Moktar Radin).

PN memenangi kerusi DUN Bandau, Tulid dan Pintasan yang masing-masing diwakili Datuk Wetrom Bahanda, Flovia Ng dan Fairuz Renddan manakala kerusi DUN Telupid dimenangi PBS menerusi Jonnybone J Kurum.

Baki empat kerusi lagi dimenangi Warisan Plus iaitu Darau (Azhar Matussin), Limbahau (Juil Nuatim), Segama (Datuk Mohammadin Ketapi) dan Kukusan (Rina Jainal).

Dewan Rakyat sebelum ini meluluskan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian PRN Sabah yang menjadikan jumlah kerusi dalam DUN Sabah meningkat kepada 73 berbanding 60 kerusi sebelum ini.

-- BERNAMA