Sistem Perniagaan Mikro Luar Bandar dan Pelabuhan Darat akan dapat menjamin peningkatan ekonomi masyarakat di Tambunan dan Sabah amnya.

Presiden Parti Solidariti Rakyat (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata hanya melalui inisiatif tersebut ekonomi luar bandar akan meningkat.

"Kita akan minta bantuan dan sokongan dari Kerajaan Pusat dalam usaha kita mahu membangunkan ekonomi kita.

"Kita akan ubah sistem konvensional kepada sistem pemusatan ekonomi tempatan.

"Melalui sistem baharu, Sistem Perniagaan Mikro Luar Bandar atau RMBS, rakyat tidak perlu lagi bergantung kepada penjualan di tamu semata-mata," katanya semasa berucap di Majlis Rapat Umum & Semarak Perikatan Nasional di Dewan Pisompuruan Tambunan.

Majlis dirasmikan Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jeffrey yang merupakan calon kerusi Dewan Undangan Negeri DUN N.39 Tambunan turut menasihatkan masyarakat luar bandar agar mencontohi kegigihan kaum Tiong Hua yang bijak berniaga.

"Sebelum ini kita makan dan yang lebih kita jual tetapi sekarang apa kata kita ubah.

"Cuba kita contohi masyarakat Tiong Hua, mereka jual dulu hasil tanaman mereka dan lebihan dari jualan baru mereka makan.

"Semua itu perlu dimulakan di Tambunan ini dan untuk melariskan hasil pertanian ini, kita ingin mengusahakan agar wujud Pelabuhan Darat disini.

"Melalui sistem baharu dan pelabuhan itu nanti, baru boleh kita bantu melariskan hasil pertanian dan baru boleh kita bangunkan industri hiliran di Sabah," katanya.