Kenyataan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi mempersendakan pengorbanan pasukan keselamatan sangat mendukacitakan.

Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin apatah lagi bekas menteri.

"Bagi saya apa yang dikatakan oleh Datuk Mohamaddin sesuatu yang mendukacitakan.

"Sepatutnya kita menghargai apa juga jasa bakti yang disumbangkan pasukan keselamatan. Mereka sanggup berjuang mempertahankan kedaulatan negara hingga rakyat negara ini boleh hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mohamaddin dalam satu ceramah di Kampung Wawasan Lahad Datu.

BACA: Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara

BACA: Mohamaddin Ketapi jawab isu dakwa pencerobohan Lahad Datu 'sandiwara', mohon maaf

Mohamaddin dalam video tular di media sosial, ketika berceramah mendakwa pertempuran di Tanduo adalah 'sandiwara'.

Selain itu, mengulas mengenai prestasi kempen Perikatan Nasional (PN) menjelang hari pengundian pada 26 September ini, Hajiji menjelaskan ia berada pada tahap terbaik.

Beliau yang juga Pengerusi PN Sabah berkata, aktiviti dan program menyantuni rakyat sentiasa dilakukan bukan hanya melibatkan calon PN tetapi juga rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GBS).