Proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berakhir tepat jam 5 petang tadi.

Semua 741 pusat mengundi membabitkan 2,540 saluran di seluruh Sabah ditutup mengikut waktu yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian bagi PRN Sabah itu bermula pada jam 7.30 pagi di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 pengundi biasa itu, dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya.

Setakat jam 3 petang, peratusan keluar mengundi mencecah 58 peratus.

SPR sebelum ini menyasarkan antara 70 hingga 75 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka apabila pengundian ditutup sepenuhnya pada 5 petang.

Pengundian awal telah dijalankan pada 22 September lalu

PRN ini berlangsung selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan pada 30 Julai.

PRN Sabah merupakan pilihan raya ketiga yang dijalankan dalam norma baharu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Mac.