KOTA KINABALU:Pengundi mengambil masa selama sembilan jam 30 minit untuk memilih 73 wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru sahaja berakhir semalam namun teka-teki siapa Ketua Menteri baharu masih belum terjawab selepas 24 jam.

Kira-kira 1.12 juta pengundi telah menunaikan hak memilih wakil rakyat mereka dan kini tiba giliran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pula melaksanakan tanggungjawabnya berdasarkan mandat yang diberikan rakyat.

Gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu telah memperoleh 38 kerusi, lebih satu kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan iaitu 37 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.

Warisan Plus, yang terdiri daripada Parti Warisan, DAP, PKR dan UPKO pula telah mendapat 32 kerusi manakala Bebas memenangi tiga kerusi.

Pengerusi PN Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim telah dibenarkan menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini pada kira-kira 3 petang.

Sejurus selepas itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata Tun Juhar telah meminta tempoh untuk menentukan siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ditanya masa yang akan diambil untuk membuat keputusan itu, Bung Moktar berkata "secepat mungkin."

BACA: LAPOR LANGSUNG: Sehari selepas PRN Sabah - Apa seterusnya?

Terdahulu, keempat-empat pemimpin telah mengadakan pertemuan di sebuah hotel sebelum bergerak ke istana dan meneruskan mesyuarat di hotel sama selepas kembali dari istana.

Keputusan tidak rasmi menyatakan gabungan itu telah mendapat jumlah yang mencukupi untuk membentuk gabungan diketahui pada kira-kira 9 malam semalam namun keputusan rasmi hanya diumumkan dua jam kemudian.

Kem GRS dilihat ceria meraikan kemenangan itu namun keadaan adalah berbeza di kem Warisan Plus semalam.

Ikuti laporan berkaitan PRN Sabah di sini

Pagi ini, rakyat Sabah diselubungi kebingungan selepas tular di media sosial bahawa PBS yang memperoleh tujuh kerusi didakwa telah beralih arah dan bertindak menyertai Warisan Plus untuk membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Berbekalkan tujuh kerusi, PBS berupaya menjadi penentu kuasa dan menyaksikan mana-mana gabungan parti politik yang disertainya boleh membentuk kerajaan.

GRS akan hanya memiliki 31 kerusi jika PBS keluar daripada gabungan itu manakala Warisan Plus, yang mempunyai 32 kerusi, akan menguasai 39 kerusi jika ia disertai PBS.

Ketua Penerangan PBS Datuk Joniston Bangkuai menjelaskan kekeliruan itu apabila mengeluarkan kenyataan yang menafikan dakwaan tersebut.