KOTA KINABALU:Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang dengan majoriti 4,631 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu.

Bagaimanapun, majoriti bekas Ketua Menteri Sabah itu merosot berbanding 5,909 undi yang diperoleh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pada PRN kali ini, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu memperoleh 6,363 undi mengalahkan pencabar terdekat yang juga anak saudaranya, Norazman Utoh Nain daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 1,732 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Calon lain Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) mendapat 61 undi, Madjalis Lais daripada Parti Cinta Sabah (PCS) (51 undi) dan calon Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam, (39 undi).

Sementara itu, Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew mempertahankan kerusi DUN Api-Api apabila memperoleh 7,796 undi, menewaskan lapan pencabar lain dengan majoriti 5,347.

Pencabar terdekatnya, Datuk Dr Yee Moh Chai daripada Parti Bersatu Sabah meraih 2,449 undi.

Selain Api-Api, PKR juga meletakkan calon di enam lagi kerusi iaitu Matunggong, Tempasuk, Tamparuli, Inanam, Klias dan Sook, namun semua calon di kerusi terbabit tewas.

Dalam pada itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung mempertahankan kerusi DUN Tanjong Papat dalam persaingan tujuh penjuru dengan memperoleh majoriti 3,743 undi.

Bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah itu memperoleh 5,900 undi menewaskan pencabarnya, Ken Yong daripada PN yang hanya mendapat 2,157 undi.

Lima pencabar lain masing-masing Mohd Yunus Apil (USNO), Chung Yu Seng (PCS), Lam Jin Dak (Parti Liberal Demokratik), Jamal Ali (Parti Perpaduan Rakyat Sabah) dan Noraini Sulong (Bebas) semua hilang wang deposit.

Pada PRU-14, Poon menang kerusi DUN Tanjong Papat dengan majoriti 1,816 undi mengalahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).