Berbaki lebih kurang 24 jam lagi kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyeru jentera parti agar menjaga keselamatan diri dan mengelak daripada pengundi dijangkiti COVID-19.

Selain itu, Mohd Shafie turut memohon maaf kepada rakyat di Negeri Bawah Bayu itu berikutan terpaksa mengadakan pilihan raya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Dalam kesempatan ini saya memohon ampun dan maaf kepada rakyat Sabah kerana berhadapan dengan pilihan raya yang memungkinkan kita bukan hanya berkempen, bahkan mendampingi para pengundi yang ada di setiap kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Sudah pasti dalam keadaan penyakit COVID-19 ini, kita akan kemungkinan besar terjangkit dengan penyakit COVID-19.

“Saya berharap dalam usaha kita untuk menambat undi mereka, kita harus berhati-hati dan berjaga-jaga supaya COVID-19 tidak menjangkiti mana-mana pihak khsusunya para pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Amanat Khas kepada Semua Rakyat Sabah dan Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasminya, pada Khamis malam.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, pengundi mempunyai tanggungjawab besar untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat baharu bagi memimpin negeri Sabah.

Jelasnya, walaupun terdapat ‘cubaan’ segelintir pihak merampas tampuk pimpinan kerajaan Sabah, mandat sebenar adalah terletak di tangan para pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab pada 26 September ini.

“Maka, dengan itu pilihan raya ini cukup penting bagi kita di bumi Sabah untuk memastikan bahawa kita mempunyai kerajaan, kita mempunyai wakil (rakyat) yang bukan hanya bermaruah, (tetapi) bermartabat dan berintegriti untuk membolehkan mereka berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Saya yakin, (dan) saya berharap, tunaikan tanggungjawab sebaik mungkin dan turun mengundi beramai-ramai pada 26 September ini agar kita dapat membentuk sebuah kerajaan yang stabil, yang boleh menjamin masa depan rakyat di bumi Sabah ini,” tambah Mohd Shafie.

PRN ke-16 menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan termasuk 13 kerusi baharu.