Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menyifatkan beliau kecewa dengan keputusan Ketua PKR Mas Gading, Boniface Willy Tumek yang mengumumkan peletakan jawatan sekali gus keluar daripada parti itu.

Bagaimanapun, Baru menghormati keputusan yang dibuat Boniface namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Saya sangat bersimpati, beliau adalah salah seorang pemimpin PKR di Sarawak. Kami benar-benar kehilangan kerana beliau telah menunjukkan kepimpinannya.

“Beliau seorang yang berintegriti, itulah sebabnya beliau menjalankan tugas sebagai naib pengerusi dengan baik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Baru bagaimanapun enggan mengulas dakwaan Boniface bahawa PKR tunduk kepada DAP dalam rundingan pengagihan kerusi yang berakhir minggu lalu.

“Saya tiada komen tentang itu. Beliau telah menyatakan pandangannya dan saya simpati dengan situasi yang dihadapinya,” ujarnya.

Rundingan kerusi yang diketuai Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berakhir Khamis lalu dan menyaksikan DAP mendapat 29 kerusi termasuk beberapa kawasan yang ditandingi PKR sebelum ini.

Namun, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chien Jien menegaskan partinya juga telah berkorban dengan melepaskan beberapa kerusi, antaranya Batu Kitang yang berpotensi dimenangi partinya.

Menurut Boniface, DAP mendapat kerusi itu walaupun PKR telah menamakannya sebagai bakal calon di sana, dan tinjauan ramai yang menunjukkan PKR mendapat lebih banyak sokongan di Tasik Biru berbanding DAP.

Boniface meletakkan semua jawatan dan keluar parti pada 17 April lalu, selepas PKR gagal mendapatkan kerusi DUN Tasik Biru untuk ditandinginya, sebaliknya memberikannya kepada DAP untuk bersaing dengan calon langsung Barisan Nasional, Henry Harry Jinep.

Boniface turut berkata PKR juga gagal mendapatkan pencalonan untuknya bertanding pada PRU ke-13 yang lalu, apabila kerusi Parlimen Mas Gading diberikan kepada DAP.