Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 boleh ditangguhkan jika berlakunya kecemasan tetapi ia bergantung keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Demikian kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg..

“Kita ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Dalam keadaan seperti ini (PKP), jika SPR umum untuk teruskan PRN, maka tiada tangguh.

"Semuanya bergantung dengan situasi semasa, lebih-lebih lagi perihal kesihatan awam,” ujarnya.

PRN Sarawak ke-11 telah diadakan pada 7 Mei 2016 dan tempoh akhir untuk mengadakan PRN berikutnya ialah pada Julai 2021.

Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak menambah PBB selaku komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam fasa mempersiapkan jentera parti untuk menghadapi hari penting itu.

“Anda sangat maklum akan perkara ini, penggal ini akan berakhir tahun depan, kita mesti bersedia, ibarat berlumba”, katanya.

Intipati mesyuarat yang berlangsung selama empat jam itu membincangkan beberapa perkara penting antaranya persediaan PBB dalam merancakkan tanggungjawab jentera parti di semua peringkat termasuk akar umbi selari dengan situasi terkini kerajaan GPS.

Abang Johari juga menjelaskan PBB bersama tiga lagi komponen parti akan terus bekerjasama dalam GPS bagi menentukan kelangsungan pembangunan di negeri Sarawak.

Menyentuh mengenai kebajikan rakyat, Dasar Ekonomi Negeri turut diselitkan dalam mesyuarat tersebut termasuk pembangunan infrastruktur di Sarawak sepert pembinaan sekolah daif.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari menjelaskan, prinsip Sarawak First terus menjadi pegangan Kerajaan GPS yang menjadi rakan kepada Perikatan Nasional (PN).

Ujar beliau, GPS merupakan entiti politik yang berbeza walaupun bersama membentuk kerajaan Persekutuan.

"Apa sahaja berkaitan dan untuk kepentingan Sarawak, ia amat diutamakan bersama rakan kita di dalam PN, kita akan dahulukan perkara itu.

"Malah pemimpin kita (GPS) ada dalam kerajaan untuk berbincang mengenai isu berkaitan Sarawak bersama kepimpinan tertinggi kerajaan Persekutuan demi kepentingan Sarawak," katanya.