BINTULU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon tidak risau dengan saingan yang bakal didepani sekiranya dia kekal bertanding di DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Ujarnya, walaupun banyak parti baharu yang muncul dan akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, beliau optimis rakyat akan membuat penilaian yang tepat.

“Untuk PRN12 ini saya jangka akan lebih sengit oleh kerana banyak parti-parti baharu.

“Pada PRN11 yang lalu, saya bersaing dalam saingan empat penjuru melibatkan PKR, DAP dan Bebas tetapi berjaya peroleh kemenangan.

“Secara jujurnya, saya tidak risau kerana penggal yang lepas dari tahun 2016 kita telah memberi perkhidmatan yang terbaik dan saya yakin dengan apa yang kita telah laksanakan,” katanya ketika ditemui di Bintulu pada Isnin.

Tambahnya, antara cabaran lain pada PRN kali ini adalah penggunaan logo GPS buat kali pertama.

Namun ia tidak akan sesekali menjejaskan keupayaan GPS untuk meraih lebih banyak kemenangan, katanya.

“Kali ini mungkin senarionya agak berbeza kerana inilah pertama kali kita menggunakan lambang parti kita sendiri.

“Bagaimanapun rakyat negeri Sarawak khususnya di DUN Murum tahu apa yang telah kita laksanakan selama ini dan penggunaan logo ini bukan satu masalah," tambahnya lagi.

BACA: PRN Sarawak: Penyandang kerusi DUN Murum dikekalkan - Abang Jo

Pada Ahad, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan bahawa Chukpai akan kekal dicalonkan dalam PRN12.

Pengumuman dibuat Abang Jo semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sungai Asap, Belaga.

Chukpai merupakan penyandang kerusi Dun Murum sejak 2016.

Pada PRN11, beliau berjaya memperoleh 3,265 undi menewaskan tiga calon lain melibatkan Mathew Silek (DAP), Stanley Ajang Batok (Bebas) dan Abun Sui Anyit (PKR).