Kerajaan akan memperhebatkan program penjelasan isu-isu semasa kepada rakyat, khususnya bagi menangkis fitnah keterlaluan yang disebar pihak tidak bertanggungjawab termasuk kononnya negara ini akan bankrap.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihak terbabit menabur fitnah menakut-nakutkan rakyat supaya berlaku keadaan huru-hara dalam negara.

"Adalah fitnah mengatakan kita (Malaysia) nak bankrap, bankrap bermakna antaranya kita (kerajaan) tidak boleh bayar gaji (kepada kakitangan), kita berhenti (anggota) tentera dan polis tak ada kerja, tidak ada duit untuk isi minyak kenderaan, tidak boleh bayar tuntutan.

"Kita mempunyai aset-aset dan harta yang lebih daripada mencukupi untuk memenuhi segala tuntutan dan perbelanjaan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan Kelab Sahabat N87 Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa berkata Bajet 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini, diterima baik oleh rakyat kerana mereka mendapat pembelaan daripada kerajaan namun ada pihak-pihak tertentu menabur fitnah supaya rakyat membenci kerajaan.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata jentera penerangan parti itu akan digerakkan ke seluruh negeri ini bagi memberi penjelasan berkaitan isu-isu semasa.

Mengenai penubuhan Kelab Sahabat N87 Negeri Kelantan yang anggotanya daripada kalangan veteran UMNO, Mustapa berharap anggota kelab dapat berjuang mempertahankan institusi presiden parti, mempertahankan UMNO supaya terus berkuasa dan mengekalkan perpaduan orang Melayu.

Turut hadir Pengerusi Kelab Sahabat N87 Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed dan Pengerusi Kelab Sahabat N87 Kelantan Datuk Kamaruddin Abdullah.

Sementara itu, Pengerusi Biro IT UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata semua Biro Teknologi Maklumat (IT) UMNO di peringkat bahagian perlu menguasai media sosial bagi memastikan keberkesanan penyampaian maklumat.

Katanya ini kerana, penyebaran fitnah berlaku secara berleluasa menerusi media sosial terhadap parti dan kerajaan.

"Mereka perlu memberi penjelasan yang mudah difahami dalam aplikasi seperti WhatsApp, Facebook dan Instagram," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan anggota jawatankuasa empat peringkat UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kelantan hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata antara perkara yang perlu diberi keutamaan oleh Biro IT sekarang ialah penjelasan mengenai Bajet 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

"Ini kerana isu-isu itu telah banyak dimanipulasi pihak pembangkang bagi melemahkan dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi," katanya.

Beliau berkata mereka juga perlu menyangkal tuduhan yang tidak berasas yang dilemparkan pihak tertentu bagi memesongkan fikiran rakyat. -- BERNAMA